98 kru KD Mahawangsa positif Covid-19

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penerima vaksin ketika membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi hari ini. - Foto BERNAMA
Dapatkan berita viral setiap hari:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengesahkan seramai 98 kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa positif COVID-19.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semua kru berkenaan menjalani ujian RTK Antigen COVID-19 sebelum menaiki kapal berkenaan dan didapati negatif.

“Selepas berada beberapa hari di dalam kapal mereka didapati positif, setakat ini semua kru terbabit tidak mengalami sebarang simptom dan mereka sudah diasingkan dan kini menjalani kuarantin.

“Insya-Allah selepas 10 hari mereka akan menjalani ujian PCR dan jika negatif mereka akan dibenarkan keluar,” katanya pada sidang media melepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.

Ismail Sabri berkata, pihaknya belum dapat memastikan bagaimana kru KD Mahawangsa itu dijangkiti virus COVID-19.

“Seperti kita tahu, COVID-19 kini berada dalam komuniti, anak kapal ini dijangkiti virus berkenaan sebelum pergi belayar, mungkin ketika mereka berada di rumah atau ketika keluar membeli barang di kedai,” katanya.

BACA NI>  Updated Quarantine period for Travellers arriving into Malaysia

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 Kebangsaan untuk membenarkan Kementerian Pertahanan mendapatkan bekalan vaksin secara terus daripada Pharmaniaga Berhad yang bertanggungjawab membotolkan vaksin jenama Sinovac.

Beliau berkata dengan kaedah itu, imuniti berkelompok bagi anggota tentera, kakitangan awam yang bekerja di Kementerian Pertahanan dan keluarga dapat dicapai dengan segera.

“Secara amnya kita mempunyai seramai 500,000 orang anggota termasuk keluarga mereka, kita sasarkan seramai 200,000 orang menerima vaksin sebulan dan mencapai imuniti dalam tempoh tiga bulan,” katanya. – BERNAMA

Komen Facebook
Dapatkan berita viral setiap hari:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here