Maybank teruskan dengan bantuan

Gambar - Bernama
Dapatkan berita viral setiap hari:

KUALA LUMPUR: Maybank meneruskan Bantuan Pembayaran Balik (RA) serta penangguhan pembayaran pinjaman (moratorium) atau pengurangan pembayaran ansuran bulanan.

Ia bagi membantu pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata bank memahami pandemik dan sekatatan pergerakan penuh akan memberikan cabaran kepada pelanggannya dalam memenuhi kewajipan pembayaran balik pinjaman.

Beliau berkata, Maybank akan memastikan bahawa mereka terus mendapat akses bantuan yang diperlukan bagi meringankan beban dan mengharungi masa yang sukar ini.

“Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga Mac 2021, sekitar 4.7 peratus tenaga kerja adalah penganggur.

“Terdapat juga ramai individu yang pendapatannya dikurangkan ekoran pampasan atau waktu kerja mereka yang dipotong.

“Tambahan pula, banyak perniagaan terutamanya PKS tidak dapat beroperasi seperti biasa disebabkan PKP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Farid berkata, walaupun pihaknya memahami sekatan pergerakan penuh diperlukan negara, tetapi bank masih bersimpati dengan semua pihak yang terkesan.

BACA NI>  Singapura jual kit ujian COVID-19 kendiri di farmasi

Maybank, katanya, akan terus menyediakan pelbagai pilihan RA bagi membantu mereka semua mengatasi kesulitan yang dihadapi.

“Berbekalkan semangat ‘kita jaga kita’, setiap daripada kita boleh memainkan peranan dengan menolong sesama sendiri untuk bekerja dan pertahanankan kemampanan mereka yang terjejas terutama PKS.

“Bank akan terus membantu selagi mana yang boleh. Sementara itu, dengan semangat yang sama, kami semua yang masih bekerja dan perniagaan yang masih beroperasi perlu juga menyokong mereka agar ekonomi secara keseluruhan dapat dikukuhkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Farid berkata, sejak September 2020 sehingga awal Mei 2021, Maybank sudah memproses lebih daripada 200,000 permohonan bantuan pembayaran balik dan meluluskan semua permohonan yang layak dengan jumlah RM32 bilion.

Beliau berkata, daripada permohonan yang diluluskan, sekitar 37 peratus telah diberikan penangguhan lebih lanjut dalam pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan mereka (moratorium), sementara pelanggan yang lain telah diberikan pembayaran ansuran yang lebih rendah untuk jangka waktu yang telah dipersetujui.

Selain bantuan pembayaran balik, Maybank, katanya terus menyediakan pelbagai penyelesaian pembiayaan untuk perniagaan dan individu.

BACA NI>  Kerajaan digesa tubuh pusat penyelidikan vaksin nasional

Bank juga, katanya, ingin mengingatkan peminjam agar berwaspada dan berhati-hati terhadap penipuan dan hanya memohon bantuan kewangan melalui saluran rasmi Maybank.

“Peminjam juga dinasihatkan agar tidak berurusan dengan pihak ketiga yang mengaku sebagai agen atau wakil bank mengenai perkara yang berkaitan dengan bantuan pembayaran balik kerana Maybank tidak melantik atau melantik atau terbabit dengan mana-mana pihak ketiga atau agen untuk tujuan bantuan pembayaran balik,” katanya.

Maybank menggalakkan pelanggan yang layak yang ingin membuat pilihan bagi mendapatkan bantuan pembayaran balik boleh melakukan melalui www.maybank2u.com.my/covid19 atau hubungi 1-300-88-6688 (Malaysia) atau 03-78443696 (luar negara).

Laporan Asal Oleh – Oleh Alzahrin Alias – Jun 8, 2021 @ 4:15pm
zahrin@bh.com.my
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/06/825507/maybank-terus-bantu-pelanggan-terjejas?fbclid=IwAR37Vv4eZ5lOe0JquNsZhGy-DR92ohPrVKa0PGdDZG1TZ6iy1zvblCVebPI

Komen Facebook
Dapatkan berita viral setiap hari:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here