Coronovirus 101 – Apa Yang Perlu Anda Tahu

Dapatkan berita viral setiap hari:

Apa Itu Koronavirus Dan Dari Mana Ia Berasal?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak koronavirus dikesan selepas organisasi itu dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar Wuhan, di wilayah Hubei, China.

Pihak berkuasa China pada 7 Januari lalu mengesahkan Koronavirus yang baru dikenalpasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

Virus itu tidak sepadan dengan virus lain yang diketahui, dan mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak yang diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan bagaimana kesan jangkitannya terhadap manusia.

Virus baru ini buat sementara waktu dinamakan sebagai “2019-nCoV.”

Bagaimana Koronavirus Memberi Kesan?

Koronavirus adalah keluarga besar virus yang menyebabkan penyakit daripada selesema biasa kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti sindrom pernafasan akut teruk (Sars) dan sindrom pernafasan Timur Tengah (Mers-CoV).

Tanda biasa jangkitan termasuk gejala pernafasan, demam, batuk, sesak nafas dan kesukaran bernafas.

Dalam kes yang lebih teruk, jangkitan boleh menyebabkan radang paru-paru, sindrom pernafasan akut yang teruk, kegagalan buah pinggang dan malahan membawa maut.

Bilangan Kes Koronavirus Yang Disahkan

Sehingga kini (28 Januari 2020), 4581 orang telah dijangkiti virus itu di seluruh dunia dan majoritinya ialah warganegara China.

Bilangan Korban Koronavirus

Sehingga kini (28 Januari 2020), angka kematian wabak koronavirus mencecah 106 orang seluruh dunia.

Negara Dengan Kes Koronavirus Yang Disahkan

Menurut laporan berita terkini Reuters, selain China di mana virus itu mula dikesan, 11 negara lain telah mengesahkan kes jangkitan koronavirus.

BACA NI>  Jangan Hanya Membawang Di Media Sosial, Laporkan Penghinaan Agama Kepada Unit Khas JAKIM

Mereka adalah Thailand, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Nepal, Perancis, Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia.

Adakah Ubat Atau Vaksin Untuk Menangani Koronavirus?

Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, TIADA ubat atau vaksin untuk virus baru ini.

Beliau berkata satu-satunya rawatan yang boleh digunakan untuk pesakit positif dengan virus tersebut adalah melalui kuarantin dan merawat gejala seperti batuk, selesema dan demam.

Bagaimanapun, kerja-kerja untuk menghasilkan vaksin tersebut sedang diusahakan oleh banyak agensi kesihatan di seluruh dunia.

Menurut Wall Street Journal, beberapa pembuat ubat-ubatan di Amerika Syarikat (AS) dan penyelidik di University of Queensland di Australia kini antara pihak yang sedang bekerja keras membangunkan vaksin virus baru ini.

CNN juga melaporkan bahawa National Institutes of Health, agensi utama kerajaan AS yang bertanggungjawab untuk penyelidikan kesihatan bioperubatan dan penyelidikan kesihatan awam, juga sedang menghasilkan vaksin.

Satu pasukan saintis di Texas, New York dan China juga turut bekerja untuk menghasilkan vaksin terbabit, kata CNN, yang memetik Dr Peter Hotez, seorang saintis vaksin di Baylor College of Medicine di Houston.

Berapa Banyak Kes Koronavirus Di Malaysia?

Setakat ini (28 Januari 2020), Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat hanya empat kes positif yang melibatkan pelancong dari Wuhan, China.

Mereka adalah seorang nenek berusia 66 tahun dan dua orang cucu berumur 2 tahun dan 11 tahun. Seorang lagi merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China. Beliau tiba di Johor Bahru pada 22 Januari 2020 dengan menaiki bas dari Singapura.

BACA NI>  Begpackers Phenomenon

Apakah Langkah Yang Diambil Oleh Kerajaan Malaysia?

Kementerian Kesihatan telah mengaktifkan semua Pasukan Tindakan Pantas (RRT) dan Pasukan Penilaian Pantas (RAT) ekoran kes novel koronavirus (2019-nCoV) di negara ini.

Pasukan-pasukan itu ditugaskan untuk menjalankan aktiviti pengesanan kontak (contact tracing activites) dan ditempatkan di fasiliti kementerian di seluruh negara termasuk di hospital dan klinik.

Semua kakitangan perkhidmatan kesihatan juga telah dimaklumkan untuk memberi perhatian serius terhadap pemakaian kelengkapan perlindungan mereka dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan jangkitan yang optimum pada setiap masa.

Syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Air dan AirAsia telah membekukan semua penerbangan ke dan dari Wuhan susulan wabak ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang pintu masuk utama di seluruh negara susulan penularan wabak koronavirus di Wuhan, China.

MAHB dalam satu kenyataan berkata, sebagai pengendali lapangan terbang, pihaknya bersama-sama agensi dan syarikat penerbangan berkaitan mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko pendedahan diminimumkan untuk keselamatan semua, terutama penumpang dan kakitangan yang bekerja di terminal.

Antara langkah yang diambil oleh kementerian dan disokong oleh MAHB ialah menjalankan pemeriksaan haba ke atas penumpang dan anak kapal yang tiba dari China.

BACA NI>  Kalau Tak Nak Kena Penjara, Jangan Buat 5 Perkara Ini Ketika Memasuki Thailand

Sementara itu, misi diplomatik Malaysia, termasuk kedutaan di Beijing, sedang menubuhkan pasukan tindak balas kecemasan untuk membantu rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas oleh wabak koronavirus itu.

Malaysia pada 27 Januari 2019 mengumumkan sekatan sementara untuk kemasukan rakyat negara China yang tinggal di Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di sekitarnya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, kerajaan buat sementara menggantung semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual, terhadap warga China yang tinggal di Wuhan dan Hubei.

Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Meminimumkan Risiko Jangkitan Koronavirus?

Menteri kesihatan menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke China berikutan wabak koronavirus kecuali atas urusan penting yang tidak boleh dielakkan.

Sekiranya masih perlu melawat negara itu, mereka dinasihatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti membasuh tangan menggunakan sabun, menggunakan pensanitasi tangan dan mengenakan topeng muka.

Mereka juga dinasihatkan mengelak mengunjungi tempat tumpuan ramai, ladang haiwan ternakan, pasar yang menjual binatang hidup, pusat sembelihan dan tidak menyentuh sebarang jenis haiwan.

Semasa dalam tempoh lawatan juga, dinasihat elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

Mereka yang berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan juga perlu memaklumkan mengenai sejarah perjalanan kepada doktor yang merawat.

Komen Facebook
Dapatkan berita viral setiap hari:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here